Saturday, September 15, 2012

Makna Sebuah Kehidupan

Reactions: 


“Saya rasa penat,” luah seorang sahabat saya.

Saya diam. Mendengar setiap butir bicaranya dengan tekun. Saya cuba menghadam situasi yang dialaminya, saya cuba blend in ke dalam perasaannya. Akal saya ligat berfikir, tercari-cari kata-kata yang ingin saya sampaikan kepadanya.

“Saya rasa saya terlibat dengan banyak program jadikan saya tak mampu untuk fokus dengan ibadah saya,” sambungnya lagi.

Saya selama ini melihat dia tabah, dia kuat, dia masih bekerja dengan keras, hari ini dia meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya, saya jadi sebak.

Selalu saya lihat dia ceria, selalu juga saya lihat riaknya yang menunjukkan keadaannya yang tertekan, tetapi hari ini dia meluahkan apa yang terbuku di hati.


Semenjak kali pertama saya perasan dia selalu batuk-batuk, sakit tekak dan selsema sejak itu saya memerhatikan dirinya dengan lebih kerap dari jauh. Saya pernah memberinya strepsil.

Kali ini saya dengar dia masih batuk lagi, sesekali saya pernah menyuruhnya untuk tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan di hadapan saya, sengaja saya buat demikian untuk melihat samada dia ada selsema atau bunyi semput yang menjejaskan nafasnya, alhamdulillah tidak.

Ketika itu dia meluahkan sedikit yang terbuku di hati, dan saya mendengar. Saya tahu dia seorang yang kuat, tabah dan cekal.

Tetapi manusia mana yang akan kuat selamanya?

Putaran Roda Ke Bawah

Saya mahu dia memahami kehidupan yang berbentuk roda ini. Tatkala roda kehidupanberputar ke bawah, yang tinggal, siapa yang lebih hebat dalam mengawal gelojak emosinya daripada cepat melatah dengan perubahan roda kehidupan.

Bagaimana kita mahu menghadapi situasi yang menghenyak jiwa ini?

Ia bergantung kepada bagaimana kita melihat sesuatu perkara. Bagaimana kita melihat sesuatu, menentukan bagaimana kita berfikir, dan siapa kita hari ini.

Apa sahaja yang datang kepada kita, kita pandang ia secara menyeluruh, pandang ia dengan penuh hikmah, hubungkan segala apa yang berlaku dalam kehidupan kita dengan Allah, hingga kita bertindak untuk berzikir kepadaNya.

Berbeza, kalau kita pandang sesuatu kita mengharapkan hikmah, atau kita pandang sesuatu dengan penuh hikmah.

Apabila putaran roda kehidupan itu berputar ke bawah, betapa banyak manusia yang melihat ia dengan mengharapkan hikmah, akhirnya putus asa dan mempersoalkan, ‘apa hikmah semua ini?’

Berbanding kalau kita melihat putaran roda kehidupan yang berputar ke bawah dengan pnuh hikmah. Kita melihat ia, menerima ia, meyakini tanpa syak Allah telah sediakan hikmah. Sekurang-kurangnya, sekalipun kita tidak nampak apa hikmah disebalik ini, atau pengajaran yang Allah mahu beri, cukuplah buat kita tahu dengan ujian yang menimpa ini membasuh dosa-dosa kita.

Kita yakin hanya pada Allah.

Putaran roda ke bawah, ke atas, ke mana sahaja ia berputar, selagi hati berpaksi hanya pada Allah, jiwa ini akan cekal ampuh.

Kita ada Allah. kita meyakini itu.

Allah itu Dekat

Dia sentiasa ada untuk kita. Dia tidak pernah meninggalkan diri kita, hatta sesaat sekalipun. Bahkan Dia lah yang menggerakkan tubuh badan kita, alam ini, kitaran kehidupan ini, sunnatullah ini, kesemuanya.

Alam ini, dunia ini, bumi ini, diri ini, semuanya dijaga Allah mengikut sistem yang telah diaturkannya. Tidakkan kita merasakan Allah itu dekat dengan diri kita?

Kadang-kadang hati sering terasa jauh dengan Allah, sukar menghayati kehidupan yang diatur olehNya. Sukar merasakan Dia begitu dekat dengan jiwa kita. sukar merasakan Dia mendengar keluh kesah kita.

Hakikatnya Allah itu tidak pernah jauh dari manusia.

Tetapi manusialah yang selalu menjauh daripadaNya.

“Pernah tak, apa sahaja yang kita lakukan, apa sahaja yang datang kepada kita, kita kembalikan semuanya kepada Allah, kita relatekan semua ini dengan Allah,” saya menduga sahabat saya itu.

“Even though kelas jati diri yang kamu kata tidak islamik itu, kalau kita pandang secara menyeluruh, jati diri itu sendiri ialah sebahagian daripada Islam,” kata saya, mahu dia membuka pandangannya, dan berfikir secara menyeluruh, melihat kehidupan ini tidak pernah lepas kaitannya dengan Allah.

Tinggal, apakah kita pandang ia dengan pandangan luar biasa hingga kita tergerak untuk berzikir kepadaNya.

Kenapa saya mahu dia kaitkan seluruh kehidupan ini dengan Allah?

Kerana saya mahu dia betul-betul merasakan Allah itu benar-benar dekat.

Sahabat saya itu pernah menceritakan kegelisahannya apabila dia merasakan, semasa kuliah straight 4 jam, dia merasakan dalam 4jam itu dia tidak ingat kepada Allah.

Sebab itu, saya ulang-ulang kepadanya, supaya memandang kehidupan ini, pandang ia dengan menyeluruh, luar biasa yang dalam erti kata lain, mengaitkan segenap kehidupan kita ini kepada Allah. Ya, kita yang perlu menjana pemikiran kita, kita yang perlu melatih pemikiran kita, untuk berfikir demikian.

Fikir Hingga Zikir

Sheikh Badiuzzaman Said Nursi pernah mengatakan, kita ini mulakan sesuatu dengan zikir dan mengakhiri sesuatu itu dengan syukur. Di antara keduanya itu, kita perlu berfikir. Namun, tak ramai manusia yang berfikir antara zikir dan syukur itu.

Contoh mudah ialah makan. Kita mula makan dengan membaca doa makan (zikir) dan menyudahkannya dengan lafaz syukur. Tetapi semasa kita makan itu, apakah kita terlintas atau berfikir mengapa kita perlu zikir dan kemudian syukur?

Fikir itu pula, bergantung kepada bagaimana kita melihat sesuatu.

Tetapi bagaimana pula hendak mengahsilkan fikiran yang membuahkan zikir?

Lihat alam ini. Perhatikan prosesnya. Rasakan dalam diri bahawa Allah itu sangat dekat dengan diri. Fikirlah sehingga kita berzikir. Dan ucapkan syukur.

Di kuliah contohnya, apabila kita belajar Fizik misalnya, jana pemikiran kita untuk melihat ilmu Fizik itu, sebagai sunnatullah yang diciptakan oleh Allah, begitu teliti, begitu teratur, tidak pernah terkeluar dari sistem itu, subhanallah.

Manusia manakah yang boleh mencipta sistem graviti yang kemudian diekstrak oleh saintis barat hingga terhasilnya pelbagai peraturan dan prinsip fizik?

Manusia manakah yang boleh menciptakan sistem yang menjadikan bumi dan planet-planet yang lain berada dalam orbit yang teratur, mengelilingi matahari, tanpa ada pernah sedikitpun terkeluar dari landasan orbit itu?

Manusia manakah yang mampu menciptakan sistem cahaya yang mempunyai pelbagai sifatnya, dan cahaya itu pula tidak pernah lari dari peraturan dan sistemnya, tidak pernah pula cahaya itu tiba-tiba sahaja bergerak dalam bentuk spiral, melawan sunnatullah sifatnya yang bergerak lurus.

Siapakah, pencipta sistem yang begitu sempurna dan teliti ini?

Allah.

Dan manusia hanya mengkaji daripada kejadian yang telah Allah ciptakan ini. Kembalikan segala-gala ini, kepada Allah.

Apabila Kita memahami DekatNya Allah, Kita Mampu Menghadapi Roda Kehidupan Yang Berubah-ubah

Mengikut apa yang kita pelajari dalam fizik, apabila kita menarik sesuatu objek dengan sejumlah daya, ada lagi satu daya yang bertentangan dengan daya dari kita yang dinamakan daya geseran (frictional force).

Semasa kita bergerak, daya geseran itu ada. Di mana-mana sahaja, daya itu tetap ada. Di tanah, di udara, dalam air, daya yang seolah berupa halangan itu akan wujud. Bahkan dalam satu-satu ketika, ia menyusahkan kita, menyukarkan kerja-kerja kita, dan memaksa kita mengeluarkan banyak tenaga untuk mengatasi daya berupa halangan itu.

Tetapi kalau tiadanya daya geseran itu, kita akan tergelincir, kita tidak dapat mengawal pergerakan kita, kita tak boleh berdiri dengan stabil, dan pelbagai masalah lagi, seandainya tiada sunnatullah itu.

Kita lihat prinsip ini, luaskan pandangannya dalam kehidupan kita.

Kita analogikan ujian dan dugaan itu umpama daya geseran itu.

Apabila kita mahu melakukan sesuatu, pasti ada halangannya, di mana-mana sahaja, ujian dan dugaan kadangkala tidak pernah henti-henti menjengah hidup kita. kadang-kala menjadikan kita resah gelisah, tidak menentu, kadang-kadang hampir putus asa, dan memaksa kita untuk mengharungi kesemua ini.

Tetapi, kalaulah tiadanya ujian dan dugaan itu, manusia akan lari dari landasan yang betul, manusia akan tergelincir dari perjuangannya, manusia akan goyah dengan kepercayaannya, manusia tidak akan stabil dan sentiasa penuh tagu-ragu, akhirnya manusia jadi lemah dan lembik tidak mampu kuat serta wujud pelbagai masalah lagi.

 Ujian dan dugaan itu lazimnya peringatan daripada Allah.

Meski kita tidak dapat memikirkan apakah yang Allah mahu kita pelajari dari kesemua ini, kita cuba at least merasakan, Allah sedang mencuci dosa-dosa kita. insyaAllah satu masa nanti kita akan memahami hikmah di sebalik semua ini.

Maka dengan itu, hati kita dapat menjiwai kehadiran Allah yang dekat dengan diri kita. roda kehidupan, datanglah ia ke atas mahupun ke bawah, kita akan meyakini satu perkara;

Allah sentiasa ada untuk kita.

Semua Itu Bermula Dengan Tarbiyah Diri

Tarbiyah bukan sekadar pergi program atau aktiviti atau daurah kepimpinan itu sahaja. Tarbiyah itu luas.

Dari kesemua tarbiyah itu, tarbiyah dzatiyah (tarbiyah diri sendiri) ialah tarbiyah yang tidak boleh kita tinggalkan.

Tarbiyah diri akan menguatkan iman dan taqwa, tarbiyah diri melatih kita istiqamah, tarbiyah diri mendidik diri kita, menjana jati diri kita dari dalam, menyucikan jiwa dan memberikan kekuatan dari dalam.

Apa makna sebuah tarbiyah yang diperoleh dari aktiviti dan program kalau tarbiyah yang paling asas iaitu tarbiyah diri sendiri begitu culas dan lompong-lompong pengisiannya?

Kita tanya diri kita kembali.

Kita mahu diri ini merasakan Allah sangat dekat dengan diri.

Maka, mulakan dengan tarbiyah diri sendiri. Carilah Allah dalam solat, doa, al-Quran dan ibadah-ibadah lain.

Semoga Allah menemukan kita denganNya, dalam apa jua situasi, dalam segenap kehidupan kita, baik roda kehidupan itu di atas mahupun di bawah.

Amiin.

Semoga titipan ini memberi sedikit inspirasi buat sahabat saya yang mahu mencari makna sebuah kehidupan ini.

“Pencarian itu takkan pernah henti,” seorang senior saya, Kak Izzah Farhana pernah berpesan demikian kepada saya.

Dan pesan ustaz Hasrizal; “erti hidup untuk memberi”.

WaAllahua’lam.


SYERAHO
15 September 2012, 10.09am
KK12, UM

1 comment:

  1. gaya penulisan dah cun dah tu..
    m0ga bermanfaat utk jiwa-jiwa yang ketandusan dan kelayuan
    agar segera pulang ke pangkuan Tuhan..

    *m0ga Allah kuatkan KITA, dan juga DIA.. :)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Search This Blog

Loading...